AHLAN WA SAHLAN

MUKADDIMAH

ASSALAMUALAIKUM

TERIMA KASIH KERANA MELAYARI BLOG INI, SEMOGA ANDA BEROLEH SESUATU YANG BERMANFAAT

M.NAJMI

Dengan Nama ALLAH

Dengan Nama ALLAH

SELAMAT DATANG

Photobucket

Monday, September 28, 2009

GANJARAN BESAR PUASA ENAM

BAGI sesetengah orang, Syawal dianggap bulan berpesta dan bersuka ria dengan jamuan dan juadah, sehingga ada yang meraikannya sebulan penuh seolah-olah puasa lenyap dalam kamus hidup mereka.

Tetapi hakikatnya, pada Syawal masih terdapat ibadat puasa iaitu 'puasa enam'. Cuma ia tidaklah menjadi suatu kewajipan seperti dalam bulan Ramadan. Bagaimanapun, ibadat sunat itu adalah kesinambungan kepada ibadat Ramadan.



Walaupun tidak berdosa sekiranya tidak dilakukan, tetapi hakikatnya puasa sunat enam hari pada bulan Syawal adalah ibadat yang penuh bermakna, malah ia amalan generasi soleh terdahulu.

Nabi Muhammad s.a.w ada menjelaskan ganjaran diperoleh mereka yang berpuasa enam hari pada Syawal melalui beberapa hadisnya. "Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan (puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh." (Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain dikeluarkan At-Tabrani dengan sanadnya daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w menjelaskan, sesiapa yang melakukan ibadat seperti itu (puasa Ramadan dan enam Syawal) dosanya dibersihkan seperti bayi baru dilahirkan ibunya.

Penegasan Nabi s.a.w itu menunjukkan puasa enam amat digalakkan walaupun ia tidak sampai tahap wajib. Baginda menggalakkan umatnya rajin beribadat, iaitu ibadat fardu disusuli amalan sunat.

Ibadat sunat enam hari itu juga adalah penanda aras keimanan dan ketakwaan seseorang terhadap Allah; sanggup berlapar dan dahaga ketika musim orang menikmati aneka juadah, semata-mata kerana menyahut anjuran agama.

Menurut ulama, puasa sunat enam hari pada Syawal sebaik- baiknya (lebih afdal) dilakukan berturut-turut, dimulai pada hari kedua Syawal dan diikuti lima hari lagi berturut-turut.

Tetapi jika tidak dapat, boleh dilakukan pada mana-mana hari asalkan masih di dalam bulan terbabit dan boleh juga dilakukan dengan tidak berturut-turut asalkan cukup enam hari.

Sesetengah ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.

Ulama juga berbeza pendapat antara puasa sunat enam hari pada bulan Syawal dengan puasa ganti (qada) Ramadan.

Pendapat pertama mengatakan tidak dibolehkan niat puasa ganti bersama puasa sunat Syawal. Ini kerana berdasarkan hadis setiap amalan berdasarkan niat.

Sebagai contoh, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam menggariskan adakah puasa enam boleh diniat sekali dengan puasa ganti: `Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qada.

Imam As-Syafi'i (di dalam Kitab Al-Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab `seyang tiap amalan dengan niatnya' bahawa: Hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarah, puasa qada dan puasa sunat.

Imam Jalaluddin As-Suyuti (di dalam Kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah diasingkan puasa Ramadan atau nazar atau puasa sunat. Namun, seseorang yang berniat puasa qada ketika Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam (tanpa menjatuhkan niat itu) mengikut pendapat sebahagian ulama.'

Pendapat kedua mengatakan dibolehkan niat bersama, malah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa sunat enam hari dengan berniat hanya puasa qada pada bulan Syawal.

Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.

Bekas ketua jawatankuasa fatwa al-Azhar, Sheikh `Atiyyah Saqr, berkata seseorang yang tertinggal puasa pada Ramadan boleh berpuasa sunat enam hari Syawal dengan niat bersama puasa ganti.

Menurutnya, orang yang berpuasa itu akan mendapat ganjaran berganda secara serentak; menggantikan puasa yang ditinggal dan mendapat ganjaran puasa enam hari Syawal.

"Bagaimanapun, dianjurkan seseorang itu menggantikan puasa tertinggal secara berasingan dengan puasa enam hari Syawal (supaya mendapat ganjaran yang lebih)."

Ada juga ulama berpendapat puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tiba Ramadan akan datang.

Sesetengah ulama berpendapat, orang yang mempunyai hutang puasa Ramadan hendaklah `membayar' terlebih dulu, kemudian baru dikerjakan sunat puasa enam. Tidak mendapat sunat puasa enam jika ia juga diniatkan sebagai puasa qada.

Perbezaan pendapat itu sudah tentu memberikan pilihan dan ruang kepada umat Islam dalam melaksanakan amal ibadat, sesuai dengan konsep taysir (kelapangan) yang menjadi satu aspek penting dalam syariah, selagi mana tiada larangan terhadapnya.

Thursday, September 17, 2009

Eid-Ul-Fitr

SELAMAT HARI RAYA EID-UL-FITR, MAAF ZAHIR BATIN DARI SAYA SEKELUARGA

RUKUN YANG LIMA



ZAKAT
"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu manjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui." - Surah At-Taubah (ayat 103)

"Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat". Surah An-Nur (ayat 56)

"Dan (ingatlah wahai Muhammad), Ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan ALLAH, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya." Surah Al-Baqarah (ayat 83)


PENGERTIAN ZAKAT
DARI SEGI BAHASA

Zakat dari segi bahasa bererti "BERSIH", "SUCI", "SUBUR", "BERKAT" dan "BERKEMBANG"

Pengertian "BERSIH" dan "SUCI" dalam istilah zakat ialah membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya daripada bersifat kedekut dan bakhil. Dalam erti yang lain ialah membersihkan diri daripada sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya.


DARI SEGI SYARAK

Zakat dari segi syarak pula ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak


HIKMAH DISYARIATKAN ZAKAT

Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang kelima. Antara hikmah dan tujuan ALLAH SWT mensyariatkan zakat ialah:

Mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada.
Membersihkan diri pembayar zakat.
Membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat.
Mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT di kalangan golongan yang berada.
Mengurangkan perasaan irihati di kalangan yang kurang bernasib baik.
Mewujudkan perhubungan antara hamba dengan ALLAH SWT di samping perhubungan antara manusia dengan manusia.
Memberi peluang kepada golongan hartawan untuk beribadat dalam bentuk mengeluarkan zakat daripada harta mereka.
Mewujudkan kesatuan di kalangan masyarakat Islam dalam urusan ekonomi dan kewangan.
Memberi masyarakat satu cara mengurus ekonomi dan kewangan yang diredhai oleh ALLAH SWT.
Melahirkan rasa tenang dan tenteram dalam hati dan jiwa pembayar zakat.

SIAPA YANG WAJIB ZAKAT ?

Setiap individu yang ingin membayar zakat harus di ambil kira syarat wajib zakat yang perlu difahami dan dipenuhi sebelum membuat taksiran. Syarat-syarat tersebut ialah:

ISLAM
Zakat hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja.
MERDEKA
Syarat ini tetap dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib.
SEMPURNA MILIK
Harta yang hendak dizakat hendaklah dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh orang Islam yang merdeka. Bagi harta yang berkongsi antara orang Islam dengan orang bukan Islam, hanya bahagian orang Islam sahaja yang diambil kira di dalam pengiraan zakat.
HASIL USAHA YANG BAIK SEBAGAI SUMBER ZAKAT
Para Fuqaha' merangkumi semua pendapatan dan penggajian sebagai "Mal Mustafad" iaitu perolehan baru yang termasuk dalam taksiran sumber harta yang dikenakan zakat.
CUKUP NISAB
Nisab adalah paras minimum yang menentukan sesuatu harta itu wajib dikeluarkan atau tidak. Nisab menggunakan nilai emas harga semasa iaitu 20 misqal emas bersamaan 85 gram emas atau 196 gram perak.
CUKUP HAUL
Bermaksud genap setahun iaitu selama 354 hari mengikut tahun Hijrah atau 365 hari mengikut tahun Masihi. Dalam zakat pendapatan, jangkamasa setahun merupakan jangkamasa mempersatukan hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatan.


APAKAH HARTA YANG WAJIB DIZAKATKAN ?

Ada 2 jenis zakat iaitu:

Zakat Fitrah

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan
syarat-syarat yang ditetapkan.
[lagi..]


Zakat Harta
Jenis-jenis harta yang dikenakan zakat adalah seperti berikut:
Zakat Pendapatan
Zakat Perniagaan
Zakat Binatang Ternakan
Zakat Pertanian
Zakat Wang Simpanan
Zakat Emas dan Perak
Zakat Saham
Zakat Ma'adin, Kunuz dan Rikaz *



***

Ma'adin

Ialah segala galian yang diperolehi dari perut bumi sama ada beku atau cair di darat atau di laut.

Kunuz

Ialah harta yang tersimpan di dalam bumi (harta karun).

Rikaz

Ialah harta benda yang tersimpan di dalam bumi dan terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ia tersimpan sebelum kedatangan Islam. (Jumhur ulama mengatakan semua jenis simpanan jahiliah)


SIAPA YANG LAYAK MENERIMA ZAKAT ?

Zakat akan diagihkan kepada beberapa asnaf. Asnaf-asnaf tersebut ialah:

ASNAF FAKIR
Fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya untuk memenuhi keperluan dirinya dan tanggungannya termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain.
ASNAF MISKIN
Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta dan hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya tetapi masih tidak mencukupi untuk menanggung keperluan dirinya dan tanggungannya.
ASNAF AMIL
Orang yang dilantik / ditauliahkan oleh Sultan atau Naibnya untuk penyelenggaraan hal-hal zakat.
ASNAF MUALLAF
Orang yang baru memeluk Islam iaitu "orang yang dijinakkan hatinya" dengan diberi bantuan supaya mereka teguh mencintai Islam.
ASNAF RIQAB
Iaitu hamba mukatab yang ingin memerdekakan dirinya.

ASNAF GHARIMIN
Orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asasi bagi permasalahan diri atau keluarga tanggungannya atau orang yang berhutang untuk menyelesaikan masalah masyarakat dan memerlukan:

  • Orang yang berhutang itu tidak mampu menjelaskan hutangnya.

  • Hutang itu hendaklah dalam perkara taat yang diharuskan syarak.

  • Hutang telah sampai tempoh untuk dijelaskan.

ASNAF FISABILILLAH
Fisabililah ialah tiap-tiap perbuatan / perkara yang menjurus kepada keperluan dan masalah untukmenegakkan syiar Islam.

ASNAF IBNI SABIL
Orang Islam yang kehabisan perbelanjaan dalam perjalanan atau orang yang hendak memulakan perjalanan sedangkan ia tidak mempunyai belanja dengan syarat:

  • Ia mengembara dari negeri tempat tinggalnya.

  • Pengembaraan diharuskan oleh syarak.

*** catatan dari http://www.e-zakat.com.my

Thursday, September 10, 2009

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu.

Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab
Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’, tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim.

“Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”.

Tetapi Umar menolak cadangan Patriach dan solat (di luar) di tangga yang berada di hadapan pintu gereja tersebut secara bersendirian. Selepas beliau menyelesaikan solat asar, beliau (masuk kembali lalu) berkata kepada Patriach al-Quds :

“Sekiranya saya mengerjakan solat tadi di dalam gereja tuan, saya merasa pasti bahawa ummat islam pada zaman akan datang akan menyatakan bahawa Saidina Umar mengerjakan solat di dalam gereja ini, maka kita boleh menukarkan gereja ini kepada masjid untuk melaksanakan solat di dalamnya”.

Kisah di atas menceritakan respon Saidinna Umar kepada cadangan Patriach supaya beliau solat di dalam gereja al-Qiamah. Respon Saidina Umar merupakan satu respon yang mengambil kira kepentingan golongan Nasrani dan Patriach sambil dalam masa yang sama melindungi Kanisah mereka.

Sehubungan dengan itu, sekiranya ummat Islam adalah peroboh kuil, gereja dan synagogue seperti yang didakwa oleh musuh-musuh Islam dan turut dipercayai oleh segolongan ummat Islam yang jahil, sudah pasti Saidina Umar akan bertindak sebaliknya. Maka amatlah malang sekiranya ummat Islam sendiri tidak memahami konsep keadilan yang dipertahankan oleh Islam sepertimana yang telah dizahirkan oleh Saidina Umar. Konsep keadilan ini meliputi berbagai perkara, termasuklah keadilan terhadap orang bukan Islam sendiri.

Khalifah-Khalifah Islam sebelum mengutus tentera Islam sentiasa berpesan supaya tidak dibunuh kanak-kanak, orang tua, orang yang berlindung ditempat-tempat peribadatan dan tidak diroboh rumah-rumah peribadatan mereka. Begitu juga, tidak dibunuh haiwan ternakan kecuali untuk dimakan dan tidak dimusnahkan tanam-tanaman dan menebang pokok-pokok tanpa alasan.

Keadilan yang sebeginilah yang melonjakkan ummat Islam ke kedudukan istimewa satu ketika dahulu! Bukan kekejaman dan bukan kezaliman.

Menurut kisah ini juga, maka adalah jelas bahawa Saidina Umar memasuki gereja dan berbincang dengan Patriach di dalamnya. Dengan itu, adalah diharapkan tiada pula dari golongan jahil yang akan menggelar Saidina Umar dengan gelaran ‛Umar Gereja’ di atas sebab ini.

Saya sememangnya cukup hairan dengan sikap sebahagian dari ummat Islam dewasa ini. Mereka berhajat besar untuk memimpin dunia, tetapi tidak menzahirkan sikap yang memungkin cita-cita ini tercapai. Terlalu banyak yang disensitifkan sehinggakan tidak mungkin berbincang dan berunding dengan yang bukan Islam sama sekali. Manakan mungkin menjadi pemimpin dunia yang majoritinya bukan Islam, sekiranya kita sendiri tidak mampu untuk berinteraksi bersama mereka bagi membuktikan keadilan Islam itu sememangnya untuk semua.

WaLlahu ‛Alam
KHALID SAMAD
www.khalidsamad.com

Sunday, September 6, 2009

Doa Panjang Umur, Dimurahkan Rezeki & Diberkati Hidup

Ya Allah, Jika ditakdirkan hari ini ialah hari kematianku, tolonglah panjangkan nyawaku dari alam barzakh ke alam dunia kerana aku hendak menyambung perjuangan Rasullullah S.A.W, tambahkan rezeki aku dan sehatkan aku, berkat junjungan Rasulullah S.A.W aku beroleh segala kejayaan. AMIN

Siapakah Yang Dimaksudkan Dengan Lelaki Soleh


Lelaki soleh dapat di definisikan sebagai seorang lelaki muslim yang beriman (mukmin), bersih dari segi zahir dan batinnya, mengambil makanan yang bersih dan halal (bukan dari sumber yang haram) serta sentiasa berusaha menjauhkan dirinya dari perkara perkara yang akan mendorong ke arah maksiat dan menariknya ke jurang NERAKA yang amat dalam.

Lelaki soleh juga ialah seorang lelaki yang sentiasa taat kepada Allah swt. dan Rasul-Nya walau dimana sahaja mereka berada dan pada bila bila masa sahaja. Kesolehan dan keimanan seseorang tidak dapat dilihat dan diukur dari segi lahiriah semata mata kerana ianya adalah berkait rapat dengan masalah AKIDAH dan KEYAKINAN, kepada siapa dia menyerah keyakinan dan ketaatan dan sebaliknya. TAUHID merupakan dasar tertinggi dalam kehidupan yang harus sentiasa dipelihara kerana apabila tauhid tidak betul dan sempurna, maka seluruh amalan yang dilakukan adalah sia-sia sahaja. Apabila telah jelas kepada siapa kita memberikan perwalian dan terhadap pihak mana kita menolak kepimpinan, barulah Tauhid akan menjadi kenyataan dan berdiri dengan tegaknya dalam jiwa seseorang.

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa kesolehan seseorang lelaki itu tidak dapat dinilai dari segi lahiriah semata-mata. Ianya adalah lebih jauh dan mendalam dari itu semua. Antara hal-hal yang harus dilihat dan dikaji pada setiap individu muslim ialah perkara-perkara yang bersangkutan dengan keyakinan, tujuan dan pandangan hidup serta cita-cita dan jalan hidup seseorang itu.

KRITERIA-KRITERIA LELAKI SOLEH SEPERTI YANG DIMAKSUDKAN OLEH AL QURAN DAN AL HADIS:

1. Sentiasa taat kepada Allah swt dan Rasullulah saw.
2. Jihad Fisabilillah adalah matlamat dan program hidupnya.
3. Mati syahid adalah cita cita hidup yang tertinggi.
4. Sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran dari Allah swt.
5. Ikhlas dalam beramal.
6. Kampung akhirat menjadi tujuan utama hidupnya.
7. Sangat takut kepada ujian Allah swt. dan ancamannya.
8. Selalu memohon ampun atas segala dosa-dosanya.
9. Zuhud dengan dunia tetapi tidak meninggalkannya.
10. Solat malam menjadi kebiasaannya.
11. Tawakal penuh kepada Allah taala dan tidak mengeluh kecuali kepada Allah swt
12. Selalu berinfaq samada dalam keadaan lapang mahupun sempit.
13. Menerapkan nilai kasih sayang sesama mukmin dan ukhwah diantara mereka.
14. Sangat kuat amar maaruf dan nahi mungkarnya.
15. Sangat kuat memegang amanah, janji dan kerahsiaan.
16. Pemaaf dan lapang dada dalam menghadapi kebodohan manusia, sentiasa saling membetulkan sesama ikhwan dan tawadhuk penuh kepada Allah swt.
17. Berkasih sayang dan penuh pengertian kepada keluarga.

Selain daripada ciri-ciri diatas, orang orang yang soleh juga merupakan insan insan yang senantiasa mendapat ujian dan cubaan daripada Allah swt. setelah para nabi nabi dan orang orang yang mulia. Mereka menghadapi segala ujian tersebut dengan hati yang tabah dan tetap teguh dalam keimanan serta pendirian. Mereka tidak mudah menyerah kalah dari keganasan dan tekanan musuh.

Tugas-tugas dan kewajipan lelaki soleh:

1. Mencari nafkah (belanja hidup)
2. Berjihad Fisabilillah.
3. Melindungi dan membela kaum yang lemah dan tertindas.
4. Memimpin, mendidik dan berlaku adil terhadap isteri.

1. MENCARI NAFKAH

Tugas mencari nafkah diberatkan kepada kaum lelaki kerana kelebihan dalam penciptaannya yang berupa kekuatan fizikal dan akal fikirannya. Oleh itu lelaki mampu untuk bekerja keras untuk mencari nafkah, memberi perlindungan dan pertahanan maruah kehidupannya terutama kepada keluarga, agama, bangsa dan agamanya. Inilah sebabnya lelaki diangkat menjadi pemimpin bagi kaum wanita. Oleh itu, seorang lelaki muslim, lelaki dan suami yang soleh, tidak akan melalaikan tugas ini. Ia wajib bekerja menurut apa sahaja kemampuannya. Dalam melaksanakan tugas ini, dia haruslah MEMBETULKAN NIATnya iaitu ikhlas untuk mencari keredhaan Allah swt. Dia tidak akan merasa MALU untuk melakukannya sebaliknya gembira dan berbangga terhadap pekerjaannya lebih lebih lagi perkara yang halal.

Lelaki soleh tidak akan lupa untuk mengingati hari akhirat tetapi menjadikannya sebagai tujuan yang utama. dia bekerja didunia untuk mencari keuntungan di akhirat, bukannya mengejar keduniaan semata-mata. Dengan cara ini, usahanya akan sentiasa berhasil dan berjaya didunia dan akhirat. Seperti kata ulama Salaf yang bermaksud; “Wahai anak Adam! Juallah duniamu dengan akhirat, maka engkau akan UNTUNG semuanya, tetapi jangan engkau jual akhirat dengan dunia, maka engkau akan RUGI semuanya.”

“Bagi orang orang yang telah mengerjakan kewajipan agamanya dengan baik, kemudian terasa penat dan letih pada malamnya, sehingga tidak dapat mengerjakan amalan amalan sunnah, maka Allah dan RasulNya memberikan jaminan dengan ampunan sepanjang malam yang dilaluinya dengan tidur yang nyenyak”.

Inilah antara ganjaran yang akan dikurniakan kepada lelaki soleh yang mencari nafkah dengan bersungguh sungguh. Terdapat dua cara orang berusaha mencari nafkah seperti yang dianjurkan oleh ISLAM.

Pertama:Â Hendaklah ia tidak melalaikan tugasnya terhadap Allah swt.dan janganlah ia meninggalkan nilai nilai yang LUHUR.

Kedua : Hendaklah dilakukan dengan cara yang halal, bersih dan tidak membawa apa apa kemudaratan kepada orang lain dan tidak pula bertentangan dengan peraturan-peraturan umum.

Antara cara cara pencarian harta yang diharamkan oleh Islam ialah:

1. Riba,
2. Penimbunan barang barang yang menjadi hajat orang ramai,
3. Perjudian dan perdagangan minuman keras,
4. Berlaku penipuan dalam penimbangan dan penukaran barang,
5. Mencuri
6. Memakan harta orang lain dengan cara yang bathil seperti yang diterangkan dalam surah An Nisa 4, ayat 29.

2. BERJIHAD FISABILILLAH

Jihad merupakan amal yang paling utama dan puncak ketinggian Islam. Tidak ada satu pun amalan soleh yang dapat menandingi Jihad. Orang soleh tidak sedikit pun merasa gentar dan takut apabila berjuang menegakkan agama Allah sebaliknya sentiasa tersenyum bangga menjadi seorang Pegawai Allah dengan gelaran paling indah iaitu MUJAHIDIN.

3. MELINDUNGI DAN MEMBELA KAUM YANG LEMAH DAN TERTINDAS

Sememangnya sejak akhir-akhir ini golongan kafir senantiasa mencari peluang untuk menindas dan menakluki negara-negara serta umat- umat Islam. Orang orang yang soleh haruslah peka dan bersedia untuk bertindak balas supaya umat-umat Islam tidak akan ditindas dengan sewenang-wenangnya oleh golongan tersebut.

” Wahai lelaki soleh…! tugas dan tanggungjawabmu bukanlah ringan, bayangkan langit dan gunung tidak mampu membawanya. Kamu sajalah yang akan tampil dan mampu menyelesaikan persoalan besar ini. Orang orang yang lemah dan sedang tertindas sentiasa menanti kehadiranmu. Mereka berdoa agar kamu segera tiba untuk menjadi pembela dan penolong bagi mereka.”

Inilah laungan yang senantiasa terdengar daripada golongan golongan yang tertindas dan mengharapkan bantuan. Oleh itu lelaki yang soleh haruslah memainkan peranannya sebagai pembela agama sama ada secara langsung ataupun tidak langsung demi untuk mengekalkan kedaulatan agama Islam

4. MEMIMPIN DAN MENDIDIK ISTERI

  • Mengajar dan membimbing dengan cara yang baik sehingga isteri isteri yang tidak solehah menyedari akan kesilapannya dan menukar cara hidupnya menjadi isteri solehah.
  • Menangani isteri dengan bijaksana sehingga dia menyedari hakikat yang sebenarnya dan bersedia mengubahnya.

Demikianlah cara cara yang telah digariskan oleh Islam untuk mengatasi masaalah ketidaksesuaian suami isteri dalam kehidupan rumah tangga. Apabila menghadapi sebarang kesulitan, lelaki soleh tidak akan cepat melatah dan bertindak menurut nafsu dan perasaan semata-mata tanpa mengambil kira perasaan orang lain. Lelaki soleh akan bertindak dengan cara yang lebih efisien dan bijaksana dan senantiasa memohon petunjuk dari Allah swt. Dengan ini kebahagiaan rumahtangga akan dapat dikekalkan buat selama lamanya. Berlaku baik terhadap isteri, suami yang soleh akan sentiasa menjaga kebajikan keluarganya terutama isterinya. Ia senantiasa menjaga hati dan perasaan pasangannya dan sentiasa menggembirakan isterinya. Mereka juga akan bertanggungjawab dalam menguruskan urusan rumahtangga, dan bekerjasama dengan isterinya.

Sabda Rasulullah: “Orang yang terbaik diantara kamu adalah orang yang terbaik terhadap isterinya, dan aku adalah orang yang terbaik diantara kamu terhadap isteriku.” ( HR Ibnu Majah )

Tauladan Rasulullah dalam kehidupan berkeluarga:

  • Keadaan beliau sebagai suami dan ayah
  • Kebiasaan beliau di tengah kehidupan bekeluarga
  • Cinta kasih beliau terhadap isteri dan anak.

Wassalam

SALAM RAMADHAN